KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 627 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak bagi tujuan pengurusan mangsa banjir.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kesemua PPS itu mampu menempatkan seramai 162,091 mangsa banjir dan lokasinya juga telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

“Justeru, saya ingin mengingatkan kepada mangsa banjir untuk berpindah ke tempat atau PPS yang disediakan ini dan tidak berpindah ke lokasi yang bukan dalam senarai sebagai PPS.

BERCAKAP… Fatimah bercakap kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur 2, dekat sini, hari ini.

“Berdasarkan pengalaman kita, ada mangsa banjir yang pindah ke tempat lain yang bukan disenaraikan dalam PPS dan kesannya mereka tidak menerima bantuan baik dari segi makanan atau keperluan lain,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur 2, dekat sini, hari ini.

Selain itu, Fatimah berkata terdapat juga persediaan lain dibuat termasuk fasiliti penyimpanan bantuan bencana; pangkalan hadapan bencana; pembekal keperluan mangsa banjir dan lain-lain yang berkaitan.

Menurut laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), fasa peralihan Monsun akan bermula pertengahan September sehingga November. MET Malaysia menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 bermula pada November ini hingga Mac 2023.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember ini hingga Januari 2023.

Suara Sarawak