Datuk Henry Harry Jinep melakukan simbolik pelepasan peserta Kayuhan Perpaduan Hari Malaysia 2022 tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

BINTULU: Seramai 700 penduduk setempat menyertai dan memeriahkan acara Kayuhan Perpaduan Hari Malaysia 2022 Peringkat Negeri Sarawak, di sini, pagi tadi.

Jelas terpancar keterujaan para peserta yang seakan ingin menterjemahkan rasa kecintaan dan sayang kepada negara melalui penyertaan dalam program itu sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak pada basikal masing-masing.

Cuaca mendung seolah-olah memahami untuk memastikan kayuhan sejauh 21 kilometer bermula dari tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu mengelilingi bandar Bintulu itu berjalan lancar.

Terdahulu diadakan senaman regangan Keluarga Malaysia.

Simbolik pelepasan para peserta disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep merangkap ahli jawatankuasa sambutan.

Mengetuai kayuhan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan ADUN Jepak Datuk Talib Zulpilip.

Menurut Talib, beliau berasa bangga kerana dapat bersama-sama mengayuh basikal pada hari bersejarah ini.

Malah beliau antara peserta pertama yang berjaya menamatkan kayuhan dalam tempoh 40 minit.

“Diharap agar semangat ini terus subur untuk memastikan Keluarga Malaysia terus teguh bersama untuk membangunkan negara,” katanya ketika ditemui.

Sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Negeri Sarawak bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu dengan menyasarkan kehadiran seramai 5,000 pengunjung bagi memeriahkan acara sambutan yang akan bermula pada jam 8 malam ini.

Pertunjukan bunga api berirama merupakan antara tarikan utama, selain persembahan hiburan daripada barisan artis terkenal tanahair seperti Dato’ M.Nasir, Andi Bernadee, Ramles Walter, Florence Lo, Claudia Geres, Safar Ghafar, Sazia Selir dan Max Kueh.

Wajah teruja peserta Kayuhan Perpaduan Hari Malaysia 2022 Peringkat Negeri Sarawak.
Datuk Henry Harry Jinep melakukan simbolik pelepasan peserta Kayuhan Perpaduan Hari Malaysia 2022 tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Suara Sarawak