KUCHING: Seorang jurukimpal dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana melakukan ugutan jenayah dengan mengajak seorang lelaki bergaduh.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Patrick Lee, 26, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa berusia 36 tahun di sebuah kuaters kediaman di sini, kira-kira jam 6 petang, 18 September lalu.

Gambar hiasan

Menurut fakta kes, semasa kejadian mangsa (pengadu) yang memandu sebuah kereta berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Datuk Bandar Mustapha telah ditahan sepasang suami isteri yang menaiki sebuah motosikal.

Penunggang motosikal (tertuduh) itu lalu mencabar mangsa dengan membawanya bergaduh namun tidak diendahkan.

Pengadu kemudian menuju ke kuarters kediaman di Jalan Durian Burung, namun tertuduh mengekorinya.

Setiba di kuarters tersebut, tertuduh yang dalam keadaan mabuk masih mengajak pengadu bergaduh dan kemudian mengambil gambar kereta pengadu dengan menyatakan akan mencarinya lagi.

Selepas kejadian, pengadu terus membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh sehari selepas kejadian.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak