Gambar hiasan

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana merosakkan siling rumah seorang lelaki berusia 52 tahun.

Tertuduh Helmi, 40, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri, MJC Batu Kawah, sekitar jam 7.50 malam, 23 September lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah masuk ke dalam siling rumah pengadu dan bersembunyi di situ tanpa kebenaran hingga menyebabkan siling itu pecah dengan anggaran kerugian sekitar RM300.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak