KUCHING: Gara-gara menumbuk dan memukul seorang lelaki yang sedang memotong kunci alat pengapit tayar di sebuah pusat beli-belah, seorang pemuda dijatuhi hukuman denda RM1,800 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Derrick Crossfield Francis Kanan, 26, bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat beli-belah di Jalan Song itu mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa berusia 33 tahun di tempat pemunggahan barang kira-kira jam 4 petang, 5 September lepas.

Menurut fakta kes, pengadu meletakkan kenderaannya di tempat pemunggahan barang dalam pusat beli-belah terbabit untuk menghantar buah-buahan di salah sebuah pasar raya dalam pusat tersebut.

Gambar hiasan

Semasa pengadu kembali ke tempat pemunggahan itu, dia mendapati salah satu tayar keretanya telah dikunci menggunakan pengapit tayar.

Susulan itu, pengadu terus ke bilik pengawal keselamatan untuk membuka kunci terbabit namun dia diarahkan untuk membayar denda RM200 untuk membukanya.

Mangsa yang tidak berpuas hati kerana berasa dirinya telah meletakkan kenderaan di tempat sepatutnya kemudian membeli alat memotong kunci untuk memotong kunci alat pengapit tayar itu.

Semasa dia sedang memotong kunci terbabit, seorang pengawal keselamatan (tertuduh) datang lalu menumbuk mangsa di bahagian mata sebelah kiri hingga menyebabkan mangsa rebah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak