Jalan simpang Kampung Singai Apar diturap, siap esok

BAU: Simpang menuju ke Kampung Singai Apar akan diturap dan disiapkan pada hari yang sama esok sebagai langkah penyelesaian sementara sebelum jalan kekal dibina.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata, ia bertujuan untuk memudahkan perjalanan, sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

“Penurapan jalan ini bagi membendung air bertakung dalam lubang jalan raya tersebut. Malah keadaan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya.

“Ini juga adalah langkah sementara, sebelum jalan kekal dibina dalam tempoh tujuh hari ini,” katanya ketika ditemu bual wartawan di simpang menuju Kampung Singai Apar, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama perunding dan kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo akan menyelesaikan isu di persimpangan itu dalam tempoh tujuh hari.

“Terdapat aduan diterima daripada orang ramai berhubung keadaan simpang tersebut. Oleh itu, kita turun padang bagi menyelesaikan isu ini secara sementara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adun Tasik Biru itu juga meminta agar cerun curam yang terdapat dalam perjalanan ke Kampung Senibong itu diselesaikan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai dan pengguna jalan raya supaya bersabar sementara kerja-kerja pembaikan dijalankan.

Keadaan simpang jalan raya menuju ke Kampung Singai Apar

Suara Sarawak