Alan Walker membuat persembahan yang memukau para penonton

8,000 pengunjung mEmbanjiri Kampung Budaya pada malam terakhir Festival Muzik Borneo Live 2022, semalam.

 

KUCHING: Malam terakhir Festival Muzik Borneo Live 2022 yang menampilkan DJ ternama dunia, Alan Walker dari United Kingdom (UK) meriah dengan kehadiran 8,000 penonton dari dalam dan luar negara yang berkampung di Kampung Budaya Sarawak (SCV).

Persembahan Walker bermula sekitar jam 10.30 malam berlangsung hampir dua jam, sekali gus penutup festival sekitar jam 12.20 pagi, semalam.

Kehadiran DJ antarabangsa itu amat dinanti-nantikan para peminat di sini dan kemunculannya dilihat merancakkan majlis dengan para pengunjung dilihat tidak melepaskan peluang berseronok dan menari mengikut rentak lagu muzik tarian elektronik (EDM) diiringi dengan pertunjukan cahaya yang mengagumkan.

Walker yang pertama kali muncul di Kepulauan Borneo khususnya di Sarawak itu amat popular dengan single berjudul Faded. Populariti lagu tersebut membolehkan Walker menerima sijil berlian di Jerman dan sijil multi-platinum di lebih 10 buah negara termasuk Amerika Syarikat (US) dan UK.

Sehingga kini lagu ciptaan Walker itu terus mendapat perhatian ramai dan menguasai pasaran muzik antarabangsa. Terdahulu, pada malam Jumaat, DJ Soda yang merupakan salah seorang DJ wanita yang popular di Korea Selatan dan peringkat antarabangsa turut membuat persembahan dihadapan kira-kira 5,000 penonton.

Berlangsung selama dua hari dari 9 dan 10 September, festival muzik yang julung kali diadakan itu menyatukan pelbagai genre muzik yang berbeza di bawah satu platform dengan menampilkan pelbagai barisan artis dan DJ terkenal dari enam buah negara di seluruh dunia.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II Datuk Snowdan Lawan dan beberapa tetamu kehormat lain.

Suara Sarawak