At Adau bakal meriahkan Octoberfest 2022 di La Promenade

KOTA SAMARAHAN: Siri Konsert Octoberfest 2022 bakal dimeriahkan dengan persembahan secara langsung kumpulan At Adau di pusat beli belah La Promenade pada 1 Oktober ini.

Pengurus Pemasaran Digital Hock Seng Lee (HSL), Sophia Ong berkata persembahan kumpulan muzik terkenal Sarawak itu akan berlangsung dari jam 8 malam.

“Sebagai sebuat pusat tumpuan komuniti, kami berbangga dapat menampilkan At Adau untuk terlibat secara langsung bagi memeriahkan lagi suasana acara Octoberfest yang julung kali diadakan.

“Malah penampilan At Adau yang terkenal dengan alunan muzik semasa Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) yang membuat persembahan secara langsung akan mampu menggamatkan lagi suasana,” katanya.

Menurutnya, At Adau akan mengadakan dua konsert dalam bulan ini termasuk di Dewan Suarah dengan konsep Chimera Odyssey yang akan dilengkapi dengan elemen animasi, muzik dan filem pendek.

“Untuk acara di La Promenade, At Adau akan mendendangkan beberapa buah lagu Rock seperti yang telah dipersetujui mereka sebelum ini.

“Kami mahu At Adau menggegarka La Promenade dengan irama Rock kelak, tidak sabar untuk menantikan saat itu,” katanya.

At Adau ditubuhkan pada 2014 oleh Lian Ngau dan Meldrick Bob bersama lima anggota lain.

Rentak dan irama kontemporari yang ditampilkan At Adau ternyata mendapat tempat di hati peminat bukan sahaja tempatan tetapi di luar negara.

Setakat ini At Adau telah membuat persembahan di beberapa negara menerusi siri jelajah mereka di Korea Selatan, Singapura, Taiwan dan lain-lain.

Untuk konsert di La Promenade, tempahan tiket boleh dibuat menerusi laman web https://booking.hslnet.my atau datang ke premis Black Bean Coffee & Tea.

Tiket dijual pada harga RM69 sehingga RM89 untuk seorang.

Luke Wrender dan Lian Ngau menunjukkan poster persembahan At Adau sempena OctoberFest La Promenade selepas sidang media di Kota Samarahan

Suara Sarawak