Gambar hisan

BULI didefinisikan sebagai perlakuan mendera, mempermainkan seseorang agar dapat menyesuaikan diri dengan suasana baharu.

Membuli pula bermakna mempermainkan seseorang, biasanya orang yang lemah dengan tujuan untuk menggertak, mencederakan, menakutkan dan apa-apa yang berkaitan dengannya.

Buli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan situasi sama ada disedari atau sebaliknya.

Kadangkala kita tidak sedar, ketika bergurau senda kita boleh memalukan seseorang.

Jadi, adakah anda pernah membuli, dibuli atau sedar dibuli?

Setiap orang mungkin pernah mengalami salah satu daripadanya.

Dalam hal ini, situasi yang paling jelas ialah buli di jalan raya.

Baru-baru ini, tular video adegan provokasi di jalan raya yang mencetuskan pergaduhan di Plaza Tol Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Video berdurasi kirakira 2.31 minit itu menunjukkan pemandu (mangsa buli) diserang oleh pemandu kereta kedua dan ia juga diakui oleh isteri mangsa buli.

Ini adalah contoh kes pembuli jalan raya yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa buli.

Mungkin, niat asal pembuli hanya ingin menakut-nakutkan pemandu tersebut namun tanpa disedari ia menyebabkan kecederaan.

Justeru dalam kes di Plaza Tol Kiara itu, anak sulung kepada mangsa buli mengalami kecederaan akibat terhantuk di bahagian kerusi meskipun memakai tali pinggang keledar.

Pakar psikologi Prof Dr Mohamad Hussain Habil menyatakan, kes buli jalan raya yang kian meningkat dipengaruhi personaliti pelaku, berbanding faktor kesihatan mental.

Pensyarah Universiti Mahsa itu menjelaskan, personaliti yang cenderung ganas didorong faktor luaran dan genetik.

Menurutnya, kes-kes melibatkan individu disebabkan personaliti mereka wujud sama ada kerana dorongan tekanan dan gagal mengendalikannya dengan baik.

Pakar Psikologi dari Universiti Malaya Prof Dr Mariani Md Nor pula berkata bahawa, masalah tekanan yang diburukkan lagi persekitaran seperti kesempitan hidup dan masalah rumah tangga.

Ia boleh menjejaskan keupayaan individu membuat keputusan yang rasional.

“Ditambah dengan sikap diri dan peribadi yang boleh mendorong kepada perlakuan yang tidak dapat dikawal akal fikiran, maka, berlakunya insiden seperti buli jalan raya yang boleh mengundang kecelakaan,” ujar Dr Mariani.

Faktor persekitaran daripada orang lain juga boleh mencetuskan buli di jalan raya.

Ini kerana ada pengguna jalan raya memandu begitu berhati-hati dan mematuhi segala undang-undang jalan raya dan ada juga sebaliknya.

Kadangkala pengguna yang cuba menjadi pemandu berhemah ini dilabel sebagai pembuli jalan raya apabila cuba mempertahankan haknya sebagai pengguna jalan raya, daripada pengguna yang memandu tidak selamat.

Bagaimana kita boleh mengesan menjadi mangsa pembuli jalan raya?

Kereta atau motosikal kita diekori kenderaan yang sama untuk satu tempoh di laluan yang sama.

Selain itu, pemandu yang mengekori memainkan lampu beberapa kali, kononnya meminta diberi laluan, cuba menghimpit kenderaan beberapa kali.

Bagi pengguna jalan raya, semua situasi ini pernah dialami.

Pasti ada pengguna cuba untuk tidak memanjangkan ketidakpuasan kerana kita memikirkan keselamatan.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Muzaffar Syah Mallow menyatakan, masalah buli di jalan raya tidak boleh dipandang ringan kerana impak serius yang boleh dibawa kepada diri pelaku yang terlibat serta orang sekeliling yang tidak bersalah

Katanya, orang yang tidak dapat mengawal minda, hati serta perasaan bukan sahaja boleh menjadi seseorang pembuli di jalan raya malah mereka juga boleh melakukan pelbagai jenis salah laku yang menyebabkan kemalangan.

Menurutnya, walau apa pun punca yang menyebabkan seseorang itu terjebak menjadi pembuli, mereka pasti memberi kesan buruk terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Yang pasti, pembuli di jalan raya wajar dikenakan tindakan atau hukuman setimpal.

Di samping itu, mangsa buli perlu berani membuat laporan segera kepada pihak berkuasa.

Suara Sarawak