KUCHING: Malaysia harus melabur lebih banyak wang dan sumber dalam sistem penjagaan kesihatan demi manfaat semua kata Chris Cheng.

Justeru, beliau merangkap Presiden Pertubuhan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (Scan) menyeru agar kerajaan menyediakan peruntukan sesuai untuk rawatan kanser di bawah Bajet 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Menurutnya, apabila negara berkembang, sistem penjagaan kesihatan juga harus selari dengan strategi dan matlamat pembangunannya.

Presiden Scan ketika meluahkan pandangan

“Peruntukan untuk penjagaan kesihatan perlu diteliti untuk memastikan akses yang saksama kepada penjagaan kesihatan berkualiti di negara ini.

“Oleh itu, kita berharap agar kerajaan tidak mengabaikan keperluan penjagaan kesihatan di Malaysia Timur serta komuniti kanser,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, isu yang lebih mendesak di Sarawak adalah keadaan infrastruktur seperti wad, dewan bedah, bilik rawatan dan juga bilik konsultasi yang lama dan sentiasa padat serta tidak kondusif untuk pesakit kanser

Katanya, Infrastruktur hanya satu bahagian. Peruntukan sumber manusia juga tidak seharusnya dipandang remeh. Kerajaan perlu melatih lebih ramai pakar, terutamanya dari Malaysia Timur.

Selain itu, kos rawatan kanser agak mahal. Ubat terapi sasaran lanjutan seperti Osimertinib (untuk kanser paru-paru) dan Palbociclib (untuk kanser payudara) boleh mencapai harga enam angka, dan ubat ini belum dilindungi oleh kerajaan kita.

“Oleh itu, kita berharap agar tiada yang terkecuali dalam bajet 2023 termasuk Sarawak yang berada di luar pusat kuasa. Jangan tinggalkan sesiapa,” tegasnya.

Suara Sarawak