KUCHING: Padah melakukan khianat dengan membaling beg plastik berisi minyak diesel ke arah kereta jirannya, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Juwanda Awang Sapuan, 29, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Menurut kertas pertuduhan, dia  melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Hashim Jaafar sekitar jam 10.04 malam, 4 September lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum  penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pengadu membuat laporan polis pada 5 September lalu selepas menemui selepas menemui beg plastik pecah disyaki mengandungi diesel pada cermin depan keretanya.

Akibat daripada minyak diesel terbabit merosakkan cermin depan dan bonet kereta pengadu hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM100.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 5 September lalu.

Hasil siasatan mendapati Juwanda sengaja membaling plastik berisi diesel ke arah kereta pengadu dan perbuatan terbabit dilakukan oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Difahamkan, terdapat perselisihan faham antara tertuduh dan mangsa sebelum kejadian.

Selain itu, tertuduh juga berniat hendak membakar kereta pengadu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd  Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak