SELANGAU: Lima parah termasuk seorang bayi selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Selangau berhampiran Rumah Panjang Dali Merawing, di sini, pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, insiden melibatkan dua kenderaan itu turut mengakibatkan empat lagi cedera ringan.

“Sebaik dimaklumkan pada 10.20 pagi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau bergegas ke lokasi.

REMUK DAN TERBALIK… Keadaan kedua-dua kenderaan selepas bertembung di Jalan Selangau berhampiran Rumah Panjang Dali Merawing, pagi tadi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lima individu yang berada di dalam Proton Iriz mengalami cedera parah.

“Mereka terdiri daripada dua lelaki, dua wanita dan seorang bayi berusia dalam lingkungan lima ke enam bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara empat individu yang menaiki pacuan empat roda jelasnya, disahkan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau,” ujarnya.

Operasi menyelamat di lokasi tamat sepenuhnya pada 11.10 pagi.

Suara Sarawak