Gambar hiasan

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mengugut hendak membunuh ahli keluarganya akibat berang ditegur menjual barang-barang rumah.

Tertuduh Gilbert Watson Pengabang, 37, dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap bapanya berusia 64, ibunya, 59, dan adik lelakinya berumur 22 tahun.

Dia melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Taman Moyan Jaya, di sini, kira-kira jam 9 pagi, 26 Ogos lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau  kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua bulan bagi pertuduhan pertama, manakala penjara tiga bulan untuk pertuduhan kedua. Bagi pertuduhan ketiga, dia dijatuhi hukuman penjara lima bulan. 

Zubaidah menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak berkuat kuasa hari ini.

Berdasarkan fakta kes, semasa hari kejadian, tertuduh bertindak agresif mengugut ahli keluarganya kerana enggan ditegur oleh ibunya supaya jangan menjual barang-barang rumah mereka di Kampung Gita.

Tertuduh telah mengeluarkan kata-kata “Kawan-kawan aku banyak beribu-ribu. Mun kitak datang ke rumah Gita, aku bunuh kitak dan semua orang” sambil menuding jari ke arah semua mangsa.

Selain itu, tertuduh yang enggan bekerja sering meminta wang daripada bapanya (pengadu).

Pengadu yang bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain membuat laporan polis untuk tindakkan dan siasatan lanjut.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon agar tertuduh dijatuhi hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak