SIMBOLIK… Abang Johari (tengah) menyempurnakan simbolik Majlis Pemasyuran Sarawak Deltra Geopark (SDGp) di Dewan Lagenda, Kampung Budaya Sarawak di sini sambil dilihat oleh Takiyuddin (tiga kiri), Len (dua kanan) dan yang lain.

KUCHING: Kerajaan Persekutuan diminta untuk memberi peruntukan secukupnya kepada Sarawak dalam usaha mengekalkan pengiktirafan Taman Geo Delta Sarawak (SDGp) sebagai salah satu taman geo kebangsaan di negara ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Saleh berkata, ia merupakan inisiatif bagi mendapatkan pengiktirafan SDGp di peringkat global.

“Justeru saya menyeru agar semua agensi kerajaan, pihak swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO), komuniti setempat, pihak industri pelancongan dan semua pihak berkepentingan berganding bahu serta mengambil peluang menggunakan jenama taman geo ini.

“Ia sebagai usaha kita mengetengahkan dan mempromosi produk masing-masing,” katanya pada Majlis Pemasyuran Sarawak Deltra Geopark (SDGp) di Dewan Lagenda, Kampung Budaya Sarawak di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Hadir sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan ahli kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Len merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Pemasyuran SDGp berkata, bagi memastikan pengiktirafan sebagai taman geo kebangsaan berkekalan, semua agensi di bawah setiap kumpulan kerja digesa untuk memainkan peranan masing-masing.

Pihak berkuasa tempatan katanya, perlu memastikan pembangunan prasarana dalam SDGp dibuat selaras dengan perancangan sedia ada serta keperluan taman geo tersebut.

Beliau turut berharap agar Kumpulan Kerja Pembangunan yang dipengerusikan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menyelaras penyediaan Pelan Pembangunan dan Pengurusan SDGp sebagai persediaan mendapat pengiktirafan sebagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) geopark global.

BERCAKAP… Len berucap pada Majlis Pemasyuran Sarawak Deltra Geopark (SDGp) di Dewan Lagenda, Kampung Budaya Sarawak di sini hari ini.

Suara Sarawak