BINTULU: Bahagian Bintulu akan menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, ia susulan pelaksanaan projek pengeluaran hidrogen yang diusahakan oleh konsortium tiga pelabur besar dari Korea Selatan yang disokong dan dibiayai oleh Kerajaan Korea.

Baru- baru ini, katanya, beliau telah mengetuai delegasi ke Korea Selatan untuk menandatangani memorandum persefahaman(MoU) pembekalan elektrik kepada projek yang dikenali sebagai Projek H2biscus.

“Projek itu dikatakan memerlukan sehingga 900 MW tenaga elektrik daripada sumber yang boleh diperbaharui, terutamanya daripada hidro.

Abang Johari semasa berucap pada sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Sarawak di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, malam tadi.

“Gas hidrogen yang bakal dihasilkan sebagai bahan bakar hijau akan dibeli balik oleh pihak Korea, terutamanya industri keluli kerana mereka perlu mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil yang mengeluarkan gas karbon dioksida,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Sarawak bertempat di tapak Lapangan Terbang Lama, di sini, malam tadi.

Menurutnya, Bintulu juga akan menyaksikan syarikat gergasi Petronas dan Shell membina dua loji untuk memproses gas masam atau gas asli yang mengandungi banyak hidrogen sulfida yang disalurkan dari medan gas di luar pantai Bintulu.

Beliau berkata, Sarawak juga akan menyaksikan pelaksanaan inisiatif baharu yang tidak pernah dilihat sebelum ini iaitu penyimpanan gas rumah hijau terutama karbon dioksida menerusi penyelesaian Carbon Capture Utilisation and Storage (CCUS).

“Pihak industri dari Korea Selatan juga menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Sarawak bagi meneroka CCUS untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera selaras dengan inisiatif sejagat untuk menangani peningkatan suhu atmosfera dunia,” tambahnya.

Suara Sarawak