RAKAM KENANGAN… Dr Ravivarma (tiga kiri) bersama Dr Bawih (empat kanan) merakam kenangan bersama ahli panel lain.

KUCHING: Pendekatan terapi menggunakan model bio-psikososial dan kerohanian adalah kaedah rawatan sesuai bagi membantu merawat pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental.

Pakar psikiatri dari Hospital Miri Dr Bawih Inu Pu’un berkata, model tersebut merangkumi empat kaedah iaitu biologi, psikologi, sosial dan rohani.

“Bagi kaedah biologi, pesakit akan diberikan rawatan seperti ubat-ubatan dan seterusnya diberikan rawatan kaunseling dan psikoterapi menerusi kaedah psikologi.

“Sementara untuk kaedah sosial pula, mereka perlu didedahkan dengan rawatan latihan penjagaan diri, pemulihan sosialisasi, pendidikan serta pekerjaan yang disokong, bantuan kewangan dan latihan pengurusan kewangan, penerimaan masyarakat dan lain-lain.

“Kaedah terakhir adalah pilihan gaya hidup, agama, budaya serta kepercayaan seseorang juga penting dalam rawatan terhadap mereka yang menghidapi masalah kesihatan mental ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar dan Forum ‘Igniting Hope’ Sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang dihadiri lebih 20 peserta daripada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Auditorium Muzium Budaya Borneo di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pakar psikiatri Hospital Miri Dr Ravivarma Rao berkata, terdapat beberapa perubahan tingkah laku yang akan ditunjukkan oleh individu yang mengalami masalah kesihatan mental iaitu sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti biasa dilakukan dan sukar melakukan tugasan harian.

“Selain itu, individu ini juga akan mengasingkan diri daripada kawan dan keluarga, mengalami gangguan tidur dan selera makan, bertindak agresif dan kasar kepada diri sendiri dan orang sekeliling serta menyalahgunakan alkohol dan dadah.

“Mereka juga akan menyatakan perasaan hilang harapan atau berputus asa dengan kehidupan malah menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.

“Jika terdapat gejala-gejala yang disenaraikan, individu ini dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk,” katanya.

Dalam pada itu, seminar itu dianjurkan oleh Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Miri bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KWPK) Sarawak, Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak, Be Frienders Kuala Lumpur, Yayasan Dee Hati, ZeroSuicideSarawak dan Kesedaran Menentang Bunuh Diri (AWAS) Malaysia.

Seminar menampilkan lima panel terdiri daripada pakar psikiatri dari Hospital Miri Dr Bawih Inu Pu’un serta Dr Ravivarma Rao Panirselvam, pengasas AWAS, Alia Ali, Penyelidik Kesihatan Institusi Global (Ceria), Dr Norman Chong dan Pengarah Eksekutif Be Frienders, Kenny Lim.

FORUM…Dari kiri, Alia, Dr Bawih, Dr Ravivarma, Dr Intan, Dr Norman Chong dan Kenny Lim.

Suara Sarawak