Abang Johari turut menyertai kayuhan berbasikal ‘Fun Ride’ bermula dari kediamannya diiringi 100 penunggang basikal menuju ke YSIS.- Photo Ramidi Subari.

KUCHING: Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSIS) di Petra Jaya di sini bakal menerima sebuah blok bangunan baharu bagi menampung tempat penginapan pelajar di sekolah tersebut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana bangunan dan ruang sedia ada tidak mencukupi bagi menampung jumlah pelajar setakat ini.

“Saya melihat sekitar 70 ke 80 kediaman pelajar disediakan di sini manakala selebihnya pelajar bersekolah harian, ia sudah tentu tidak mencukupi.

“Disebabkan itu sebuah bangunan blok kediaman akan diwujudkan di YSIS selaras usaha Sarawak membina lebih banyak sekolah mempunyai kediaman penuh kepada pelajar di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis ‘A Moment With Premier Sarawak di Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSIS) di sini hari ini. Program tersebut diadakan secara santai melibatkan 200 pelajar bersama ibu bapa.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata usaha tersebut akan menjadi saluran kepada ibu bapa yang tidak mampu menghantar pelajar ke sekolah antarabangsa, menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan.

Katanya, pelajar akan menuntut ilmu di sekolah itu dengan syarat perlu mempunyai standard, kerana standard sekolah perlu dikekalkan sebagai usaha menyediakan pendidikan berkualiti kepada rakyat.

Terdahulu, Premier turut menyertai kayuhan berbasikal ‘Fun Ride’ bermula dari kediamannya diiringi 100 penunggang basikal menuju ke YSIS, manakala ketibaan Premier Sarawak disambut oleh pengetua YSIS, Bahtiar Afandi dan pihak pengurusan YSIS.

Abang Johari (kiri) dibantu ahtiar Afandi menanam pokok belian sambil yang lain melihat. – Photo Ramidi Subari.

Suara Sarawak