Bot nelayan tempatan kelas C yang ditahan selepas melakukan kesalahan di Kuala Tatau, semalam.

BINTULU: Sebuah bot Kelas C bersama tiga kru termasuk tekong ditahan setelah didapati menangkap ikan pada 5.34 batu nautika dari Kuala Tatau, semalam.

Bot nelayan tempatan itu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu pada kira-kira jam 5 petang.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot nelayan itu didapati telah melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan.

Beliau berkata tangkapan ini dilakukan berdasarkan kepada hasil rondaan aset dan anggota yang memantau di kawasan pesisir pantai sepanjang perairan Bintulu.

“Ini adalah tangkapan kali keempat pada September ini melibatkan vesel nelayan tempatan yang telah melanggar undang-undang dengan menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan.

“Zon Maritim Bintulu memandang serius ke atas kesalahan-kesalahan berkaitan pencerobohan oleh vesel nelayan tempatan di kawasan pesisir pantai yang mana boleh mengakibatkan kerosakan kepada ekosistem pantai dan menjejaskan pendapatan nelayan-nelayan kecil,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, Maritim juga menyita vesel, peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda serta 200 kilogram ikan campur yang dipercayai baru ditangkap.

Tambahnya, kesemua kru beserta bot dan hasil tangkapan ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Tegasnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah pada lesen.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan mengalu-alukan sebarang aduan mengenai sebarang kegiatan salah di laut.

“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” ujarnya.

Suara Sarawak