BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda dan tongkang sedang bertambat di antara satu sama lain pada jarak lebih kurang 4.6 batu nautika dari Sungai Kemena, sekitar jam 1 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot tunda dan tongkang tersebut gagal mempamerkan sebarang dokumen berkaitan kebenaran membawa muatan daripada Kastam.

Tambahnya, turut ditahan kru bot tunda dan tongkang itu kerana permit kerja didapati berdaftar di atas vesel berlainan seperti yang disahkan di dalam pas atau permit.

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati tujuh orang kru termasuk nakhoda merupakan warganegara Indonesia, berumur dalam lingkungan 18 hingga 48 tahun dan semuanya adalah lelaki.

Bot dan tongkang yang ditahan APMM di Bintulu, petang semalam.

“Terdapat muatan disyaki kayu balak dijumpai di atas tongkang semasa diperiksa. Kesemua kru beserta bot tunda dan tongkang ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah.

Manakala kru yang ditahan ujarnya, akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar atau gagal mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan berkaitan dengan arahan yang diendorskan di atas mana-mana Pas, Permit atau Pas Sempadan yang mana boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.00 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Suara Sarawak