KUCHING: Gara-gara membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan kad pengenalan yang kononnya diragut, seorang wanita dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara satu bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di Balai Polis Sungai Maong sekitar jam 10.57 pagi, 31 Ogos lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh mendakwa dirinya telah diragut oleh dua orang lelaki menaiki motosikal di tepi sebuah bank di Jalan Laksamana  Cheng Ho.

Dia memaklumkan kepada pihak polis bahawa barang yang hilang diragut ialah wang tunai RM5,600, kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM bank dan seutas rantai emas berharga RM3,000.

Hasil siasatan mendapati laporan yang dibuat oleh tertuduh adalah palsu dan sengaja mereka-reka cerita.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati tiada kejadian ragut seperti yang dilaporkan tertuduh.

Difahamkan, tertuduh mengaku kad pengenalan miliknya telah hilang tercicir di kawasan pasar raya semasa balik kampung di Sibu.

Dia bertindak demikian kerana untuk mengelak daripada membayar denda kad pengenalan yang hilang.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak