BETONG: Seekor buaya katak yang tersesat sejauh kira-kira 50 meter dari sungai ke penempatan penduduk Kampung Tuie berjaya ditangkap malam tadi.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong Leftenan Muda Desem Samuel, buaya berukuran lapan kaki panjang itu pada mulanya dilihat terperangkap di dalam parit.

“Namun sebaik menyedari kehadiran orang ramai dan mungkin merasai dirinya terancam, buaya berkenaan cuba melarikan diri ke bawah rumah penduduk.

TEWAS… Buaya katak sepanjang lapan kaki yang berjaya ditangkap di Kampung Tuie, malam tadi.

“Pasukan kita bersama-sama penduduk terus menangkap buaya berkenaan sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Betong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seperti diakui penduduk, jelasnya buaya tersebut sering muncul di dalam longkang.

“Mereka juga percaya kehilangan binatang peliharaan seperti kucing yang kerap berlaku mempunyai kaitan dengan kehadiran buaya di situ,” ujarnya.

Desem menyatakan buaya berkenaan akan diserahkan kepada pihak perhilitan untuk tindakan lanjut selepas selesai proses dokumentasi selesai.

Operasi di lokasi selesai 12.28 tengah malam.

Suara Sarawak