KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mencekik bekas majikannya.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Fuad Amri, 32, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapannya.

Berdasarkan pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kecederaan dengan mencekik mangsa lelaki, 35, di sebuah pusat cuci kereta di Bandar Baru Semariang, sekitar jam 6.08 petang, 6 September lalu.

Menurut fakta kes, tertuduh bersama-sama kenalan lelaki dan wanita datang ke pusat cuci kereta milik mangsa untuk mengajak mangsa bergaduh dengannya.

Gambar hiasan

Bagaimanapun, pengadu tidak memperdulikan ajakkan tertuduh dan menyebabkan tertuduh berang lalu bertindak menerkam serta mencekik leher mangsa.

Tertuduh juga menuduh mangsa telah mengambil tangga milik kawannya yang dikatakan di simpan dalam pusat tersebut.

Difahamkan, tertuduh sering ke pusat tersebut dalam keadaan mabuk untuk membawa mangsa bergaduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak