APAKAH pertanyaan sepanjang hayat yang sentiasa kita dengar? Ketika masih bujang, ditanya bila akan kahwin? Selepas kahwin ditanya, bilakah hendak ada anak? Perasan atau tidak? Itu pertanyaan yang sentiasa wujud dari dulu sampai sekarang.

Namun percayalah, ia bukan kerja kita sebagai hambaNya kerana ada perkara yang sudah tertulis kepada kita sebagai penerimanya. Jodoh, ajal, maut dan rezeki itu manusia tidak dapat tentukan.

Dulu mungkin kita mengimpikan suami jutawan tetapi ditakdirkan dapat yang sedang-sedang, dahulu kita impikan isteri bidadari syurga tetapi sudah takdir dijodohkan yang biasa-biasa.

Ketika berkahwin, kita impikan sekurang-kurangnya anak dua tetapi ditakdir anak boleh penuh satu padang bola. Itu juga sudah takdir, dan ketentuan-Nya.

Minggu lepas saya berbicara dengan seorang sahabat lama yang kami panggil Rahimah. Banyak yang kami kongsikan, salah satunya tentang anak. Perkongsian saya mungkin sensitif untuk sesetengah orang, tetapi rasanya bagus untuk dikongsi kepada wanita yang tidak mempunyai anak.

Ada beberapa sebab mengapa wanita tidak ditakdirkan menikmati saat mengandung dan melahirkan — mungkin masalah kesihatan, mungkin sebab lain yang di atas sahaja maha mengetahui.

Pertemuan kami berkisar tentang kisah sahabat saya yang tidak mempunyai anak walaupun sudah berkahwin 21 tahun.

Saya masih ingat, 15 tahun lalu dia pernah ditawarkan pasangan yang ketika itu bayi masih di dalam perut untuk mengangkat anaknya tetapi dia menolak kerana bimbang tidak mampu mengasihi anak orang seperti anaknya.

Saya pernah memberitahu, jika dia belum menjadi ibu, bagaimana dia yakin dia tidak mampu membahagikan kasih sayangnya?

Atau memang gagal untuk menerbitkan perasaan sayang kepada bayi yang baru lahir?

Selalunya, fitrah manusia terutamanya wanita mudah jatuh hati kepada anak-anak kecil, mudah timbul perasaan belas dan empati.

“Saya benar-benar menyesal. Kalaulah saya angkat anak itu, mungkin sudah dara sama dengan anak awak,” katanya.

Baginya, pada usia yang masuk empat siri, terasa terlambat untuk mengangkat anak lagi. Saya tanya kepadanya selepas 15 tahun, sebenarnya apakah yang berlaku ketika itu kerana anak itu lahir-lahir jatuh ke tangan pak sanggup lain sedangkan sahabat saya memang menginginkannya.

“Pertama saya takut anak itu cacat. Tetapi lihat sekarang dia membesar jadi anak yang sihat, putih melepak, tinggi dan pandai sekolah.

Yalah, anak darah campur mesti cantik.

“Kedua saya mahukan anak perempuan. Ketika di dalam kandungan, bayi itu disahkan lelaki tetapi keluar perempuan,” katanya.

Ketiga katanya, suaminya mahu anak itu sihat, pastikan tiada cacat suaminya mengambil kerja Tuhan.

Di dalam perut sendiri lagi kita tidak boleh hendak tentukan anak kita bagaimana rupa apabila lahir, inikan pula perut orang.

Kongsinya, sehingga saat ini tidak ada seminit pun dia tidak menyesal malah sering bertanya kepada keluarga angkat anak itu yang kami juga kenali, perkembangan semasa.

Kisahnya, sebulan sebelum anak itu lahir, dia mengundur diri katanya bimbang dan tidak bersedia.

Macam-macam yang dia fikirkan ketika itu dengan sokongan suaminya bahawa mereka bukan pasangan ideal untuk bayi itu panggil ibu ayah.

Saya sendiri menjadi saksi bagaimana kejadian itu berlaku.

Selepas berbelas-belas tahun, minggu lepas dia katakan hidupnya semakin sunyi kerana suaminya sudah pencen dan dia akan pencen awal.

Bagaimana mereka mengisi masa terluang, itulah yang menjadi kekesalannya. Sunyi — itu katanya.

Ya, saya akui. Pasangan yang ada anak empat apabila menginjak usia akan menyesal mengapa tidak enam anak.

Saya yang mempunyai dua anak lagi sunyi apabila seorang masuk kolej, seorang sahaja tinggal di rumah.

Di dalam hati saya yang paling dalam, alangkah seronoknya jika ada empat anak.

Yang empat anak akan fikir, alangkah seronoknya ada enam anak.

Sebabnya manusia tidak pernah puas. Kisah sahabat kami Rahimah ini memberi pengajaran bahawa kita tidak boleh tidak percaya kepada perjalanan hidup yang ditentukan untuk kita.

Andai kata hari itu, 15 tahun lalu dia tidak membuat keputusan menolak betul-betul 27 hari sebelum bayi itu lahir, mungkin takdir Rahimah sudah lain.

Mungkin dia sudah bergelar ibu walaupun anak itu tidak dilahirkan dari rahimnya kerana tidak salah mengambil anak angkat.

Saya bercerita berdasarkan realiti hidup. Anak angkat atau anak kandung, ia tetap anak. Sebaik sahaja dia tidur di pangkuan kita, kasih sayang itu akan tumbuh sama seperti anak kandung.

Cabarannya tetap sama. Sebagai ibu bapa angkat, kita perlu memberikan kasih sayang dan penjagaan yang sewajarnya, memberi perhatian kepada keperluan fizikal, emosi dan pembelajarannya serta memastikan keselamatan. Jangan pandang sebagai anak orang.

Sebaik-baiknya, kehadiran mereka pembawa bahagia kerana tanpa mereka, kita tidak akan menikmati keriuhan di hari tua.

Adakalanya mungkin terpaksa berdepan dengan kenyataan atau pertanyaan sensitif daripada orang lain, namun tiada manusia yang tidak suka cerita begini, kena hadam dan jawab.

Jangan salahkan diri sendiri mengapa kita terpilih menjadi ibu bapa, keluarga angkat kerana itu memang takdirnya.

Setiap orang mempunyai takdirnya masing-masing. Ada orang yang ditakdirkan penuh kebahagiaan, ada pula yang sebaliknya.

Saat takdir itu datang, tiada yang boleh menolaknya.

Meski, kita sudah berhati-hati dalam bertindak dan melangkah. Ada takdir yang boleh disunting dan ada takdir tidak boleh diubah lagi.

Ada jalan hidup boleh kita sunting dengan ikhtiar manusia. Misalnya takdir miskin dapat diubah dengan doa dan kerja keras, takdir sakit dapat diubah dengan berubat, dan sebagainya yang melibatkan ruang usaha bagi manusia.

Kita masih diberi kesempatan untuk memperbaiki takdir tersebut dengan ikhtiar malas kepada rajin, berubah daripada panas baran jadi baik.

Ada yang sudah tercetak dan tidak boleh disunting lagi.

Namun kita kena terima. Andai ditakdirkan saya atau kalian semua menjadi wanita tanpa rahim, kena terima dengan hati terbuka dan jangan berasa rendah diri.

Hidup ini terlalu singkat untuk tidak bahagia!

Suara Sarawak