KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menawarkan sejumlah 147 tapak jualan di sepanjang Jalan Gambier, di sini, sempena Regata Sarawak-Festival Tebingan Kuching 2022.

Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang berkata, pihaknya menyediakan tapak jualan untuk tempoh enam hari iaitu dari 28 hingga 30 Oktober dan 4 hingga 6 November depan.

“Sebanyak 60 tapak disediakan untuk jualan tekstil, aksesori, permainan kanak-kanak dan lain-lain, manakala 77 tapak lagi untuk jualan makanan serta minuman.

“Sementara itu, 10 buah tapak untuk makanan (panggang) dan lima buah trak makanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dewan Bandaraya Kuching Utara

Menurutnya, bayaran yang dikenakan untuk tempoh enam hari tersebut adalah sebanyak RM160 sepetak yang berukuran 10’ x 10’.

“Para penjaja hendaklah menggunakan meja, kerusi dan kanopi biru sendiri dengan ukuran 10’ x 10’ semasa menjalankan aktiviti perniagaan untuk memastikan keseragaman serta memudahkan kerja-kerja susun atur dilakukan,” ujarnya.

Tambahnya, jualan petak akan diadakan pada Sabut, 8 Oktober depan mulai jam 8:30 pagi di Auditorium DBKU, Bukit Siol, Jalan Semariang.

Beliau juga menegaskan bahawa penggunaan bekas styrofoam/polisterin sebagai pembungkus makanan adalah tidak dibenarkan kerana ia boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan memudaratkan tahap kesihatan orang awam.

Suara Sarawak