Dipenjara enam bulan kerana curi minyak wangi

KUCHING: Padah mencuri empat botol minyak wangi di sebuah pasar raya, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Mohazie Sebli, 36, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu di dalam sebuah pasar raya terkemuka di Jalan Demak Baru, sekitar jam 6 petang, 17 September lepas.

Menurut fakta kes, pengadu yang bertugas di bahagian keselamatan telah melihat seorang lelaki (tertuduh) dalam keadaan mencurigakan, lalu mengekorinya hingga ke kaunter pembayaran.

Namun, lelaki tersebut terus keluar tanpa membuat pembayaran. Pemeriksaan lanjut mendapati tertuduh mencuri empat botol minyak wangi dan diletakkan di dalam beg dan seluar.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Suara Sarawak