BINTULU: Dua bot nelayan tempatan kelas C ditahan di perairan Bintulu sekitar 6.30 pagi semalam kerana menjalankan aktiviti perikanan di kawasan zon larangan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, pihaknya yang sedang melaksanakan Op Permai telah mengesan dan menahan kedua-dua bot nelayan tersebut yang leka menjalankan aktiviti penangkapan ikan pada kedudukan lebih kurang 6.3 batu nautika dari Kuala Tatau, di sini.

Beliau berkata tangkapan tersebut adalah hasil aduan komuniti maritim setempat mengenai aktiviti penangkapan ikan dari jarak yang ditetapkan pada syarat sah lesen.

Vesel nelayan tempatan yang ditahan atas kesalahan menjalankan aktiviti perikanan di zon larangan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang dari 12 batu nautika dari daratan seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen.

“Kedua-dua bot nelayan tersebut dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong tempatan dan dua kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 38 hingga 65 tahun serta mempunyai pasport pengenalan diri dan permit pekerjaan yang sah dari Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, kesemua kru, dua bot serta hasil tangkapan dianggarkan 200 kilogram ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Tegasnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah pada lesen.

Dalam pada itu, tambahnya, setakat September ini, Zon Maritim Bintulu telah menahan tiga buah vesel nelayan tempatan yang telah melanggar undang-undang dengan menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan mengalu-alukan sebarang aduan mengenai sebarang kegiatan salah di laut.

“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” ujarnya.

Suara Sarawak