KUCHING: Polis menangkap dua lelaki tempatan kerana disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad, di sini hari ini.

Kegiatan mereka dikesan selepas satu video tular di Facebook menunjukkan mereka menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru yang dipercayai membawa kabel curi.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dari Telekom Malaysia Berhad berhubung kejadian curi kabel yang berlaku di tepi Jalan Keranji.

KANTOI….Kegiatan dua orang suspek mencuri kabel milik Telekom Malaysia dirakam dan tular di media sosial.

“Kedua-dua suspek berumur dalam lingkungan 18 dan 26 tahun yang masing-masing mempunyai 12 rekod siasatan lampau iaitu kes dadah dan jenayah harta benda serta rampasan kabel curi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahsmon berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti melibatkan kecurian kabel dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

Suspek berumur 18 dan 26 tahun menaiki motosikal dengan membawa kabel curi.

Suara Sarawak