MULU: Sebanyak empat pasukan penyelamat digerakkan untuk mencari Ago Deng, lelaki warga emas yang dilaporkan hilang setelah keluar memancing di sekitar hulu sungai Kampung Batu Bungan, di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pencarian terdiri daripada empat pasukan MOCSAR Bomba dan 20 penduduk kampung bersambung pada hari kedua hari ini, kira-kira jam 7 pagi.

“Dua pasukan melakukan pencarian di darat iaitu kawasan hutan sebelah hulu Kampung Batu Bungan dalam radius 7 km.

“Manakala dua lagi pasukan melakukan pencarian menggunakan perahu di Sungai Melinau, Niah dengan radius 8 km,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat ini, mangsa, 65, masih belum dijumpai.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerima laporan berhubung kehilangan mangsa, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Mangsa dikatakan telah keluar dari rumah sejak 25 Ogos yang lalu dan tidak balik sehingga hari ini.

Laporan polis orang hilang juga telah dibuat oleh keluarga mangsa.

Suara Sarawak