Empat pekerja kafe cedera, tong gas meletup

BINTULU: Seramai empat orang pekerja mengalami kecederaan dalam kejadian letupan tong gas petroleum cecair (LPG) di dapur sebuah kafe di Tanjung Batu di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian yang berlaku pada jam 2.40 petang itu turut mengakibatkan beberapa bahagian cermin kaca dan siling dalam ruangan kafe tersebut mengalami kerosakan.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.47 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati api kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Manakala, mangsa-mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital oleh pihak pengurusan kafe.

“Pasukan bomba hanya memantau kawasan kejadian dan setelah mendapati keadaan terkawal serta selamat, anggota berangkat balik ke balai,” jelasnya.

 

Suara Sarawak