Erasmus+ rancakkan projek penyelidikan, inovasi UiTM Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Penubuhan “Erasmus+ and Learning Centre” akan merancakkan lagi projek penyelidikan dan inovasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak.

Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor berkata, ia merupakan satu inisiatif yang sudah lama dinanti-nantikan.

“Saya amat berbangga kerana UiTM Cawangan Sarawak juga telah berjaya mendapatkan peruntukan berjumlah RM22 juta untuk menjalankan enam Projek Erasmus+ kelak.

“Ini kerana jika kita hendak mewujudkan pusat sumber sedemikian dengan bajet sendiri ia mungkin satu perkara yang sukar kerana kita berhadapan dengan kekurangan bajet daripada kerajaan ketika ini.

“Jadi kita perlu mencari banyak peluang-peluang dari luar negara dan dengan inisiatif Universiti Terkenal Global juga, kita memastikan kampus serta fakulti UiTM mendapat peluang kerjasama di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-94 dan Majlis Pelancaran Erasmus+ and Learning Centre di Pusat Pelajar, UiTM Sarawak Kampus Samarahan, di sini hari ini.

Rektor UiTM Cawangan Sarawak Datuk Dr. Jamil Hamali berkata projek Erasmus+ adalah dibiayai sepenuhnya oleh Kesatuan Eropah (EU).

Menurutnya, ia juga akan membantu dalam membangunkan program Sarjana dan Kursus Profesional yang ditawarkan universiti tersebut.

Projek yang dijalankan itu adalah menjurus ke arah mempertingkatkan pengajaran, mekanisme penilaian untuk kakitangan dan pelajar universiti, jaminan kualiti, pengurusan, tadbir urus, kapasiti digital dan keusahawanan dan banyak lagi.

Lokasi “Erasmus+ and Learning Centre” adalah di Perpustakaan Tun Abdul Razak di Kampus 2 UiTM Samarahan.

RAKAMAN KENANGAN… Dr. Jamil (enam kiri) dan Dr. Roziah (tujuh kiri) merakam gambar kenangan selepas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-94 dan Majlis Pelancaran  Erasmus+ and Learning Centre di Pusat Pelajar, UiTM Sarawak Kampus Samarahan, dekat sini hari ini.

Suara Sarawak