Fasa 2 SSLR  dimuktamadkan dalam masa terdekat

KUCHING:  Pelaksanaan fasa dua projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fasa dua SSLR yang menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas kini sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan dari segi perolehan.

“SSLR merupakan penghubung utama yang perlu kita buka untuk Limbang dan Lawas yang tiada hubungan apabila Brunei menutup pintu sempadan. 

“Sebab itu ia merupakan keutamaan kita,” katanya pada sidang media selepas Libat Urus Kementerian Kerja Raya Bersama Media Sarawak, di sini, semalam. 

Beliau menambah, projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) iaitu Missing Link daripada Miri, Kuala Baram ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Brunei, Limbang dan Lawas turut dalam perancangan. 

Justeru, beliau berharap projek tersebut dimuktamadkan dalam penghujung tahun ini dan pelaksanaan dapat dimulakan pada tahun hadapan. 

Katanya, kos siling bagi kedua-dua projek adalah sekitar RM12 bilion dan kos projek hanya dimuktamadkan setelah penilaian pengurusan dan penilaian kejuruteraan dibuat.

Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, kementeriannya ketika ini melaksanakan empat projek bernilai RM1.636 bilion.

Katanya, ia melibatkan pembinaan jejambat Jalan Medan-Jalan Tun Hussein Onn di Bintulu, naik taraf Jalan Datuk Mohd Musa sehingga ke bulatan Kota Samarahan, jalan raya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan fasa pertama SSLR dari Lawas ke Simpang Long Lopeng. 

Fadillah bercakap pada sidang media selepas Libat Urus Kementerian Kerja Raya Bersama Media Sarawak, di sini hari ini Foto Hakeem

Suara Sarawak