𝐊𝐔𝐂𝐇𝐈𝐍𝐆: Bersempena sambutan ulang tahun yang ke-10 Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS), Festival Apresiasi Karya P.Ramlee akan diadakan sepanjang bulan Oktober ini di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuching.  

Menurut Presiden KPPRS Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah, program tersebut terbuka untuk orang awam dan tiada bayaran dikenakan.

“Menerusi program ini, KPPRS menerbitkan tiga buah buku yang menceritakan pengalaman mengadakan persembahan di seluruh Sarawak, seluruh Malaysia, Singapura dan Indonesia serta pengalaman 10 tahun pengurusan dan pentadbiran KPPRS. 

“Selain itu kita akan menerbitkan sebuah video dokumentasi berkenaan sejarah dan pengalaman selama 10 tahun menjadi badan seni yang berjaya,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Turut diadakan nanti ujarnya ialah Pertandingan Nyanyian Lagu P.Ramlee dan Makan Malam Amal untuk mengutip dana untuk institusi-institusi kebajikan yang memerlukan.

Bagi acara utama iaitu Seminar Apresiasi Karya P.Ramlee 2022 katanya, ia bertujuan menghimpun para peminat Seniman Agung P. Ramlee, tidak kira dalam kalangan pengkaji, pengkritik, penganalisis atau sekadar peminat biasa.

Justeru ujarnya, acara itu nanti bakal menghimpunkqn kelab peminat P.Ramlee dari negara Indonesia, Brunei, Singapura dan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Pihaknya turut mensasarkan seramai 200 orang peserta secara bersemuka dan 1,000 orang secara dalam talian, dari dalam kalangan pengkaji, pengkritik, penganalisis, anak-anak dan aktivis seni atau orang perseorangan yang meminati P. Ramlee dan karya-karyanya. 

Suara Sarawak