MIRI: Polis menahan seramai 12 orang lelaki tempatan berumur antara 19 hingga 33 tahun, selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah bistro di sini, pada pagi Sabtu lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan, hari ini.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri yang kebetulan membuat rondaan di sekitar kawasan tersebut mendapati berlaku kekecohan di dalam sebuah bistro.

“Pasukan tersebut kemudian bertindak pantas meleraikan pergaduhan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang terlibat ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata dalam rusuhan.

Jika disabitkan kesalahan katanya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan.

“Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil menyalurkan maklumat ke balai terdekat,” ujarnya.

Suara Sarawak