Abang Johari dan Uggah ketika tiba pada Majlis Apresiasi Bersama Barisan Hadpan Covid-19 Zon Selatan di BCCK di sini, malam tadi.

KUCHING: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis Sarawak dapat menghasilkan vaksin sendiri bagi mencegah dan membendung sebarang penyakit berjangkit baharu pada masa depan.

Katanya ia tidak mustahil untuk dicapai dengan adanya pusat penyelidikan penyakit berjangkit yang sedang dibangunkan di negeri ini.

“Kami akan menubuhkan pusat penyelidikan sendiri untuk penyakit berjangkit tropika, yang kini dalam pembinaan di bawah bajet RM200 juta.

“Saya yakin dengan kerjasama pusat penyelidikan lain di seluruh dunia, kita berharap suatu hari nanti, mungkin kita boleh menghasilkan vaksin sendiri untuk menghadapi penyakit pandemik baharu di kawasan tropika,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Bersama Barisan Hadapan Covid-19 Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.

Terdahulu, Abang Johari berkata ketika menghadapi penularan Covid-19, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) termasuk pembinaan makmal dan peralatan bagi Covid-19, penubuhan pusat kuarantin, pembelian vaksin, peralatan perubatan, makmal perubatan dan sebagainya.

“Kami juga membelanjakan RM260 juta untuk kuarantin di hotel dan turut melaksanakan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga 9.0, yang sehingga kini memperuntukkan RM6.7 bilion untuk membantu pelbagai kumpulan pendapatan, individu dan perniagaan,” katanya.

Abang Johari menyampaikan sijil penghargaan kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.

Suara Sarawak