KOTA SAMARAHAN: Mejar Jeneral Hassan Embong mengambil alih tugas sebagai Panglima 1 Divisyen baharu menggantikan Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa.

Majlis serah terima tugas diadakan di Padang Kawad Kem Muara Tuang, di sini hari ini disaksikan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Perbarisan terdiri daripada 27 pegawai dan 461 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Sempadan, Leftenan Kolonel Shafiron Saad.

Dzulkafli (kiri) menandatangani dokumen serah terima tugas bersama Hassan (kanan) sambil disaksikan oleh Mardzuki.

Hassan dilahirkan pada 29 Oktober 1965 di Mersing, Johor, memulakan karier dengan menyertai latihan sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1985.

Seterusnya, beliau ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 4 Oktober 1986.

Batalion Ke-27 Rejimen Askar Melayu Diraja (27 RAMD) merupakan unit pertama perkhidmatan beliau.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama Hasliza Abddul Wahab dan dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan serta seorang lelaki.

SERAH…Dzulkafli (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Hassan (kanan) sambil disaksikan oleh Mardzuki.

Beliau seterusnya telah dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral pada 30 Ogos 2022 dan pada hari ini, beliau telah menjawat jawatan sebagai Panglima 1 Divisyen ke-29 yang sebelum ini beliau merupakan Ketua Pengarah Operasi dan Latihan, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Kem Muara Tuang.

Sementara, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa merupakan Panglima 1 Divisyen ke-28 bermula 19 Jun 2020 yang lalu akan menjalani latihan peralihan sebelum bersara wajib pada Februari 2023.

Beliau dilahirkan pada 23 Februari 1963 di Jitra, Kedah dan telah mendirikan rumah tangga bersama Datin Norziati Othman serta dikurniakan dengan 3 orang cahaya mata.

Selepas menjalani latihan Pegawai Kadet pada tahun 1981, beliau telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda ke Rejimen Renjer Diraja pada 22 Ogos 1982 dan ditugaskan di Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja.

Dzulkafli dan isteri, Datin Norziati Othman diiringi sempena majlis serah terima tugas di Padang Kawad Kem Muara Tuang.

Sepanjang 40 tahun perkhidmatan, beliau telah menjawat jawatan dalam Tentera Darat serta Angkatan Tentera Malaysia seperti Pegawai Memerintah Batalion Ke-7 Rejimen Renjer Diraja (Mekanize), Komandan Institut Pegawai Kanan (INSPEKA), Penasihat Ketenteraan, MALAWAKIL New Delhi, India, Panglima Briged Ke-9 Infantri Malaysia dan yang terakhir adalah Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia ke- 28.

Turut hadir, Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latif, Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Shauri Mat Piah, Panglima 31 Briged, Brigedier Jeneral Abdul jalal Zaidi Abdul Majid.

Suara Sarawak