BINTULU: Semangat saling mengenali hak dan keistimewaan serta sikap saling hormat-menghormati perlu dikekalkan bagi memastikan solidariti dalam masyarakat di bawah konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang besar.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, semangat itu signifikan dengan tarikh keramat 16 September yang menyaksikan pembentukan sebuah negara Malaysia.

“Pengisytiharan tarikh itu sebagai cuti umum merupakan satu pengiktirafan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati kepentingannya dalam pembentukan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada majlis sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Sarawak di tapak Lapangan Terbang Lama, di sini, malam tadi.

Dr Rundi yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan tersebut, berharap sambutan tahun ini dapat mengukuhkan lagi ikatan antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut memuji pertumbuhan perindustrian di Kidurong, Tanjong Batu yang diperluaskan ke Samalaju serta pertumbuhan perniagaan di Bintulu sebagai faktor yang menarik pelabur asing untuk melabur di Malaysia, dan di Sarawak khususnya.

“Terletak secara strategik di tengah-tengah Sarawak, Bintulu bukan sahaja menjadi tumpuan kepada sektor perindustrian dan perniagaan, tetapi ia juga membentuk masyarakat bersatu padu yang mampu bekerjasama.

“Bintulu kini pesat membangun dan mempunyai masa depan yang cemerlang, terutamanya dalam menjadi bandar besar dengan hab perindustrian, perniagaan dan pelancongan,” tambahnya.

Suara Sarawak