IBET perangi rabies, jaga alam sekitar

KUCHING: Penubuhan pasukan ‘Immune Belt Enforcement Team’ (IBET) pertama di Malaysia oleh Kerajaan Sarawak merupakan usaha untuk menangani penularan wabak rabies secara berterusan di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, disebabkan itu pasukan IBET turut dibekalkan dengan kenderaan beserta kelengkapan canggih seperti dron.

Katanya, ia bagi membolehkan mereka menjalankan tugas-tugas terutama di lokasi yang terpencil.

“Saya yakin dengan segala persediaan dan kelengkapan yang ada, pasukan IBET akan dapat melindungi kita daripada ancaman rabies yang dibawa oleh anjing liar dari negara jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran IBET, Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) di Dataran Perayaan, Jalan Stadium di sini hari ini.

Abang Johari menambah selain membendung penularan rabies, IBET turut berperanan dalam menjaga alam sekitar di Sarawak.

“Ini penting kerana masa depan kita bergantung kepada kualiti standard alam sekitar.

“Diharapkan semua pasukan melengkapkan usaha kerajaan dalam memelihara alam sekitar supaya Sarawak dikenali sebagai negeri hijau di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata kesemua petugas IBET merupakan anak watan Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum dan berasal dari kawasan pedalaman Sarawak.

Katanya ia menunjukkan bukti bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa bersikap adil dalam memberikan peluang pekerjaan kepada semua golongan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan tempat asal.

Dengan itu, beliau menafikan tohmahan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Kerajaan GPS bersikap pilih kasih dalam memberi peluang kepada mana-mana orang yang ingin menyertai perkhidmatan awam negeri.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Seri Mohammad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Datuk Dr Chai Khin Chung.

LAWATAN… Abang Johari Tun Openg (dua kiri) diberi taklimat mengenai operasi IBET oleh Chai Khin Chung (kiri) semasa lawatan di bilik gerakan IBET.

 

 

Suara Sarawak