Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ba’Kelalan Baru Bian

KUCHING: Kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri perlu didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan mereka mendapat akses pendidikan yang sewajarnya. 

Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ba’Kelalan Baru Bian yang menggesa ibu bapa kanak-kanak ini perlu sekurang-kurangnya mencuba untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri anak-anak mereka.

Beliau mendedahkan siasatannya dengan Jabatan Pendidikan terdahulu dimaklumkan bahawa terdapat satu set garis panduan dirujuk oleh guru besar dalam mempertimbang tempat untuk kanak-kanak ini (tiada dokumen pengenalan diri).

“Jika ibu bapa dapat menunjukkan bahawa mereka telah mencuba mendapatkan dokumen untuk anak-anak mereka, anak-anak ini akan diberikan persekolahan.

“Apa yang diperlukan hanyalah beberapa dokumen daripada JPN untuk menunjukkan bahawa mereka telah berusaha mencuba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan di kawasan Ba’ Kelalan, seramai lima kanak-kanak tidak ke sekolah ekoran ibu bapa mereka tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk dokumen sijil kelahiran atau dokumen anak angkat mereka.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini dua murid telah mula bersekolah selepas mengemukakan permohonan ke pejabat JPN.

“Manakala, tiga lagi murid termasuk seorang anak angkat masih tidak dibenarkan ke sekolah, kerana ibu bapa mereka tidak membuat sebarang percubaan untuk memohon mendapatkan dokumen berkenaan.

“Saya difahamkan guru besar sekolah itu pergi sendiri ke kampung untuk bercakap dengan ibu bapa murid ini, tetapi tidak berjaya kerana mereka tidak membuat sebarang percubaan untuk mendapatkan dokumen atau sijil kelahiran anak mereka,” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa ibu bapa yang anak-anak mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perakuan kelahiran atau dokumen anak angkat supaya datang ke pejabat JPN berhampiran.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa untuk mengemukakan permohonan sijil kelahiran anak atau anak angkat mereka bagi memastikan anak-anak ini mendapat akses kepada pendidikan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, membaca dan menulis adalah penting bagi setiap kanak-kanak kerana ia adalah hak asasi manusia bagi setiap warganegara.

Tambahnya, persekolahan untuk kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri masih menjadi masalah di Sarawak, yang tidak sepatutnya berlaku pada zaman ini.

Bagaimanapun, beliau memuji Kementerian Pendidikan kerana menunjukkan belas kasihan dan memberikan syarat yang boleh dicapai untuk ibu bapa mendaftarkan anak mereka ke sekolah.

Suara Sarawak