‘Instagrammable Spot’ tarikan baharu Simunjan

SIMUNJAN: Tarikan baharu ‘Instagrammable Spot’ daripada karya seni awam yang dibina pelukis tempatan bersama-sama komuniti bakal menjadi daya tarikan pengunjung di sini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia merupakan salah satu inisiatif baharu dalam usaha menjadikan Simunjan sebagai salah satu destinari menarik di Sarawak.

Katanya, terdapat pelbagai karya seni awam dihasilkan seperti Arca Udang Galah, Lukisan 3D di lantai Esplanade serta hiasan gantung pelbagai warna di pintu masuk Padang Sentral yang merupakan projek kolabarasi bersama Balai Seni Negara.

“Bagi menarik anak-anak muda, kita juga mendapatkan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Awam (IPTA) di Simunjan untuk terlibat sebagai sukarelawan.

“Ia supaya mereka bersama-sama dengan pengkarya profesional untuk membangunkan karya seni ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Fiesta Pelancongan, Seni dan Budaya Simunjan di Padang Sentral di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong menambah menerusi inisiatif tersebut, ia juga dapat mencungkil bakat-bakat baru tempatan yang berminat dalam seni dan boleh belajar daripada pengkarya professional.

 

Suara Sarawak