Ahsmon (dua kiri) bercakap kepada media di sekatan jalan raya, Lebuh Raya Kuching-Samarahan, di sini, hari ini.

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mempergiatkan usaha membanteras jenayah curi kenderaan di daerah ini menerusi Op Bersepadu Lejang Khas.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, ia ekoran kes kecurian kenderaan sejak Januari hingga Ogos tahun ini meningkat kepada 80 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, pihaknya telah melancarkan operasi sejak Januari lalu membabitkan tiga fasa dengan melibatkan 15 pegawai dan 195 anggota.

“Lima pasukan khas iaitu Counter Aggresive Team (CAT) turut ditubuhkan, berperanan mengesan dan memburu penjenayah curi kenderaan di daerah ini.

“Operasi melibatkan seluruh kawasan daerah Kuching yang dibahagikan kepada beberapa zon tertentu. Manakala sekatan jalan raya statik diletakkan di lima lokasi pada peringkat ini dan ditambah ikut keperluan semasa.

“Dalam masa sama, kami turut merima bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang membantu menguatkan dan memperluaskan liputan kita,” katanya kepada media di sekatan jalan raya, Lebuh Raya Kuching-Samarahan, di sini, hari ini.

Tambahnya, IPD Kota Samarahan dan IPD Padawan turut bersama membanteras kes kecurian kenderaan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga 31 Ogos, empat sindiket curi kenderaan berjaya dilumpuhkan iaitu Geng Wan, Geng Oscar, Geng Jalil dan Geng Kancil.

Sementara katanya, seramai 103 suspek berjaya ditangkap sejak Januari lalu, manakala 26 suspek telah ditangkap pada 1 Ogos hingga 31 Ogos lalu.

“Manakala sebanyak 35 rampasan kenderaan telah dibuat dengan nilai rampasan dianggarkan RM129,800,” ujarnya.

Katanya, IPD Kuching telah menyelesaikan 52 kes kecurian kenderaan dan seramai 23 orang telah didakwa di Mahkamah.

Di samping, beliau menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes kecurian kenderaan kepada pihak polis.

PERIKSA…Ahsmon (empat kiri) bersama anggota membuat pemeriksaan pada sebuah kereta di sekatan jalan raya, Lebuh Raya Kuching-Samarahan, di sini hari ini.

Suara Sarawak