Datuk Ismail Abang Saufi

KUCHING: Tampuk kepimpinan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak akhirnya bertukar tangan selepas tiga dekad apabila Timbalan Presidennya, Dato Ismail Abang Saufi dilantik sebagai Presiden baharu bagi penggal 2021 – 2024.

Pelantikan tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA Sarawak Kali-34 yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka, di sini, baru-baru ini.

PEKEMA Sarawak dalam kenyataan akhbarnya memberitahu, Ismail telah bersiap sedia untuk menjawat jawatan berkenaan susulan kematian Presidennya, Tan Sri Abang Khalid Tan Sri Datuk Amar Abang Marzuki pada Februari tahun ini.

“Sememangnya, tidak dinafikan sumbangan mantan Presiden PEKEMA Sarawak, Almarhum Tan Sri Haji Abang Khalid Marzuki begitu besar sekali buat PEKEMA, namun saya berazam akan meneruskan perjuangan dan legasi yang ditinggalkan oleh Almarhum.

“Sudah pastinya, cara Almarhum mengendalikan persatuan ini dan saya adalah berbeza, namun matlamat kami sama iaitu untuk terus memajukan persatuan ini,” katanya.

Beliau berkesempatan merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua ahli PEKEMA Sarawak yang telah menzahirkan sokongan tidak berbelah bagi kepada beliau untuk mengemudi persatuan tersebut.

“Saya berterima kasih dengan rakan-rakan sejawat dalam barisan ahli jawatankuasa PEKEMA Sarawak yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada saya bagi menerajui persatuan ini, termasuklah sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli syarikat semua,” ujarnya lagi.

Mesyuarat Agung Tahunan tersebut telah dihadiri oleh Presiden PEKEMA Peringkat Pusat, Dato’ Zainuddin Abdul Rahman, Timbalan Presiden PEKEMA Pusat, Datuk Mohammed Nazari Noordin, barisan exco PEKEMA Pusat, Sabah dan Sarawak serta perwakilan-perwakilan syarikat ahli PEKEMA Sarawak.

Untuk rekod, Almarhum Tan Sri Abang Khalid mula memegang jawatan selaku Presiden PEKEMA Cawangan Sarawak sejak tahun 1990 dan sempat menjawat jawatan berkenaan selama 32 tahun sebelum beliau didiagnos menghidap Kanser Usus Tahap Dua dan kesihatannya mulai merosot selepas menjalani pembedahan pada penghujung Januari lalu.

Beliau menghembuskan nafas akhir di Hospital Pantai Bangsar pada 4 Februari tahun ini, meninggalkan seorang balu, tujuh orang anak serta lapan orang cucu.

Ismail (duduk tengah) dilantik sebagai Presiden PEKEMA Sarawak bagi penggal 2021 hingga 2024.

Suara Sarawak