Jong Regata tarikan Pesta Tasik Biru

BAU: Perlumbaan sukan tradisi, Jong Regata memeriahkan Pesta Tasik Biru 2022 yang berlangsung selama 11 hari bermula jumaat lalu.

Pada asalnya, ia adalah perlumbaan perahu layar mini dengan reka bentuk perahu Cina, yang lebih lebih dikenali sebagai jong bagi masyarakat tempatan serta bukan satu acara asing lagi bagi penduduk di Bau.

Ini kerana acara sukan air tradisional yang telah mula dianjurkan sejak era kolonial British itu mempunyai sejarah dan keunikannya tersendiri.

Jong berasal daripada reka bentuk perahu Cina yang mana perlumbaannya bergantung sepenuhnya kepada kuasa angin.

Perlumbaan jong itu berkait rapat dengan budaya masyarakat Cina yang berhijrah dari China ke Daerah Bau dengan menggunakan perahu layar untuk bekerja sebagai pelombong emas sejak abad ke-18.

Kali pertama perlumbaan jong diadakan di daerah ini adalah pada 8 Ogos 1950 oleh Pejabat Daerah Bau yang diketuai oleh Pegawai Daerah pada masa itu iaitu A.J.N Richard.

Pada tahun ini, Jong Regata berlangsung selama dua hari antara acara utama penganjuran Pesta Tasik Biru dijangka menarik seramai 60,000 orang pengunjung.

Pengerusi Kelab Sukan Rekerasi Legasi Jong D’Bau Marina Aminan berkata, sebanyak 135 buah perahu mini jong menyertai perlumbaan dan pertandingan jong cantik pada tahun ini.

Antara kategori dipertandingkan iaitu jong Skunar, Skuci, Batong Bandung, Kotak, Campuran dan Raja Tasik Biru.

Menurutnya, perlumbaan jong mengekalkan tradisi permainan tradisional masyarakat Melayu Daerah Bau.

”Ia mengekalkan seni jong kepada masyarakat serta mengeratkan hubungan antara pemain dan masyarakat setempat,” katanya.

Penganjuran Pesta Tasik Biru bermula 22 September hingga 2 Oktober dengan pelbagai program menarik menanti orang ramai.

Pelbagai program berlangsung termasuk pertandingan Miss Tasik Biru, bergendang, sukan permotoran, gusti lengan, jualan dan pameran agensi kerajaan dan banyak lagi.

Suara Sarawak