KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerima pakai keputusan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan (indoor) kini adalah atas pilihan.

Ia termasuk pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka.

“Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi kes positif Covid-19 yang perlu ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk jalani penilaian kesihatan; individu yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah dan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan yang setara dengannya.

“KKM juga amat menggalakkan supaya pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, pusat membeli-belah dan rumah ibadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemakaian pelitup muka juga digalakkan bagi individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema, individu berisiko tinggi seperti warga tua, mereka yang menghidap penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung serta mereka yang melakukan aktiviti bersama orang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan, protokol baharu itu akan mula berkuat kuasa serta merta pada hari ini (7 September).

Suara Sarawak