(Dari kiri) Juanda dan Abdullah turut bersama pegawai UKAS melafaz ikrar bebas rasuah.

KUCHING: Kakitangan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digalakkan menyuarakan aduan mereka berhubung isu pentadbiran dan integriti kepada Unit Integriti Dan Ombudsman (UNION).

Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Dr Juanda Jaya berkata, ia sekali gus dapat membantu meningkatkan lagi ketelusan dalam pentadbiran agensi terbabit.

Bagaimanapun, katanya, aduan yang dikemukakan tersebut harus mempunyai asas sebelum dinilai dan diselesaikan oleh UNION selaku pihak ketiga.

“ Jawatankuasa Ombudsman Sarawak dalam setahun menerima puluhan aduan.

“Sebahagiannya tidak berasas dan kita maklumkan kepada pengadu bahawa laporan itu tidak berasas.

“Manakala bagi laporan yang berasas, pihak kita akan bertindak secara langsung bertemu dengan pihak yang diadu dan pengadu bagi mencapai penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas menghadiri Bacaan dan Sesi Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah, Program Perhimpunan Pegawai-Pegawai UKAS, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Pejabat Premier (Hal Ehwal Korporat dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa pihaknya tidak akan melayan aduan-aduan yang tidak berasas yang bersifat sangkaan buruk dan sebagainya.

Terdahulu, seramai 168 pegawai UKAS dan Kader Kementerian melafaz ikrar dan menandatangani ikrar bebas rasuah.

Lafaz ikrar dibacakan oleh Pemangku Pengarah UKAS Samuel Simon sambil disaksikan oleh Penolong Pesuruhjaya SPRM Sarawak Mardiana Han mewakili Pengarah SPRM Sarawak.

LAFAZ IKRAR…Pemangku Pengarah UKAS Samuel Simon melafaz ikrar bebas rasuah sambil disaksikan oleh Penolong Pesuruhjaya SPRM Sarawak Mardiana Han mewakili Pengarah SPRM Sarawak.

Suara Sarawak