KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah dijenamakan semula sebagai Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah.

Perkara tersebut diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan Kongres Pertanian Lestari dan Keselamatan Makanan (COSAFS 2022) di Hotel Waterfront, di sini, hari ini.

Menurutnya, pertukaran nama kementerian itu sejajar dengan penekanan yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak terhadap pertanian mampan serta menangani isu keselamatan makanan.

“Ini kerana pertanian terlalu penting bagi Sarawak, malah kerajaan telah meletakkan sektor ini sebagai salah satu bidang yang memacu pertumbuhan utama negeri ini di bawah Strategi Pembangunan Pasca- Covid-19 (PCDS) 2030,” katanya.

Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom ketika berucap pada Kongres Pertanian Lestari dan Keselamatan Makanan (COSAFS 2022) di Hotel Waterfront, di sini, hari ini.

Sementara itu, Menterinya Datuk Dr Stephen Rundi Utom dalam ucapannya memberitahu pihaknya berbesar hati dengan pertukaran nama kementerian tersebut selaras dengan komitmen mereka dalam menyokong Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (NAP 2.0) yang dibangunkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Kementerian saya mempunyai visi yang sama dengan sasaran negara dalam usaha memartabatkan pengurusan dan pengeluaran agromakanan.

“Ia selaras dengan visi untuk membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berasaskan teknologi dalam memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak dan mengutamakan keselamatan makanan,” jelasnya.

Tambahnya, salah satu inisiatif kementeriannya dalam menyokong usaha Kerajaan Sarawak menjadi pengeluar makanan utama negara menjelang 2030 adalah menubuhkan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah pada awal tahun ini.

Suara Sarawak