Gambar hiasan

SEPANJANG tahun ini sahaja, dilaporkan lebih 200 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara termasuk di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Mereka yang menjadi mangsa kebanyakan berumur 16 tahun dan 40 tahun ke bawah kerana terpedaya dengan iklan pekerjaan di media sosial yang menawarkan gaji lumayan.

Modus operandi sindiket kebanyakannya memperdayakan mangsa menerusi iklan peluang kerjaya di Facebook sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan bayaran yang tinggi.

Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu akan menghubungi ejen melalui aplikasi WeChat, WhatsApp dan Messenger.

Setelah mendapat persetujuan mangsa, ejen memaklumkan akan mengurus dan menanggung kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi pekerjaan dan setelah tiba di destinasi, semua dokumen perjalanan dan telefon mangsa akan dirampas dan dimusnahkan.

Mereka kemudiannya dikurung dan dikawal ketat serta akhirnya dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian dalam talian, scammer, pelaburan, love scam dan penipuan lain.

Lazimnya, mangsa-mangsa sindiket penipuan ini akan dipaksa bekerja sebagai scammer, dan jika tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan, mereka akan diseksa, malah dipaksa menjual organ dan menjadi pelacur.

Malah terdapat mangsa yang ‘dijual’ daripada satu ejen kepada ejen lain malah ada yang turut ‘dipindahkan’ ke negara lain menggunakan laluan haram.

Ada laporan mendakwa satu kes mangsa ditawarkan pekerjaan bergaji lumayan di Dubai dan apabila tiba di sana, individu itu telah disuntik dengan dadah sehingga tidak sedar diri yang kemudiannya diculik ke Myanmar.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pada 19 Ogos lalu dilaporkan berkata, seramai 238 warga tempatan menjadi mangsa sindiket penipuan bekerja di luar negara termasuk 168 orang yang masih terkandas di luar negara.

Katanya, daripada jumlah itu, 168 orang masih terkandas di luar negara manakala 70 orang berjaya diselamatkan.

Masalah tersebut kelihatan semakin parah dan perlu ditangani dengan segera sebelum lebih ramai menjadi mangsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim menggesa kerajaan memperketatkan syarat perjalanan rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun untuk bekerja di negara berisiko sindiket penipuan kerja seperti Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand, selepas ratusan dipercayai masih terperangkap di negara-negara berkenaan.

Beliau juga mencadangkan hanya syarikat berdaftar dan mendapat kelulusan daripada kerajaan Malaysia dan negara terlibat dibenarkan untuk mengambil pekerja daripada Malaysia.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan yang juga Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) pula berkata PDRM diharapkan dapat menggunakan saluran Asean Desk di Ibu pejabat Polis Bukit Aman untuk berhubung dengan pihak di negara terbabit bagi mendapatkan maklumat berkaitan sindiket.

Bagi menanganinya, Kerajaan Malaysia mewujudkan satu jawatankuasa khas pelbagai agensi diketuai Kementerian Luar untuk memastikan rakyat yang menjadi mangsa sindiket tersebut dibawa pulang dengan selamat.

Mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, keputusan mewujudkan Jawatankuasa Khas itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Katanya, kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di beberapa negara dibawa pulang dengan selamat dan usaha sedang dilaksanakan melalui saluran yang ada bagi tujuan itu.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan belia yang berminat untuk bekerja di luar negara pada masa akan datang hendaklah menyemak dengan pelbagai agensi kedutaan kesahihan majikan mereka.

Majikan Malaysia yang ada industri lain di negara luar amat banyak, jadi rakyat juga boleh semak iklan itu adalah tepat dan sahih.

Dalam masa yang sama, beritahu keluarga dan saudara mara tujuan sebenar untuk ke mana-mana negara luar.

Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga dinasihati agar mengambil langkah berhati-hati sekiranya anak mereka mendapat tawaran bekerja di luar negara.

Pastikan bahawa tawaran kerja itu adalah telus, tidak mencurigakan dan tiada unsur penipuan serta memastikan tawaran kerja yang diberikan itu adalah logik dari segi gaji dan elaun termasuk aspek kebajikan yang lain.

Suara Sarawak