KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak adalah bagi menguruskan aliran serta pergerakan trafik yang lebih sistematik di semua bandar negeri ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, jawatankuasa tersebut akan menjadi platform bagi semua pihak berkepentingan berbincang serta menyelaraskan isu-isu berkaitan yang mempengaruhi aliran pergerakan lalu lintas dan pengangkutan bandar.

“Pengurusan trafik bandar yang sistematik amat diperlukan bagi mewujudkan pergerakan orang ramai dan barangan yang lebih selamat, teratur serta cekap. Dalam masa yang sama melindungi alam sekitar.

Datuk Lee Kim Shin mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak.

“Justeru, jawatankuasa ini akan melihat isu-isu berkaitan lalu lintas. Seterusnya mengesyorkan kepada pihak kerajaan sebarang program mahupun projek bersepadu yang selaras untuk menyelesaikan secara berkesan isu berkaitan.

“Oleh itu, jawatankuasa ini hendaklah mengadakan mesyuarat tidak kurang daripada dua kali setahun,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya pembentukan jawatankuasa yang diluluskan kabinet negeri pada 25 Ogos lalu itu juga tepat pada masanya untuk melaksanakan fungsi Kementerian Pengangkutan Sarawak khususnya dalam pengurusan trafik bandar bagi mengatasi masalah kesesakan.

Terdahulu, mesyuarat jawatankuasa tersebut turut dihadiri ketua jabatan dan pegawai daripada kementerian serta agensi yang berkaitan pengurusan lalu lintas bandar di Sarawak.

Suara Sarawak