KUCHING: Artis veteran Malaysia, Datuk Ramli Sarip bakal bertandang ke Sarawak pada 20 November ini menerusi konsert jelajahnya ‘Cinta di Sebalik Musim’ 2022.

Bakal berlangsung di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini, konsert yang dianjurkan oleh Yayasan Kepimpinan Al-Bait (YKAB) dengan kerjasama Rasa Karya Sdn Bhd itu bertujuan menyampaikan pelbagai mesej kepada masyarakat.

Menurut Ramli, konsert yang diadakan bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi turut menyampaikan mesej penting kepada para penonton yang hadir.

“Menerusi lagu-lagu yang dipersembahkan, apa yang disampaikan merangkumi aspek kerohanian seperti ketuhanan, kehidupan dan kemasyarakatan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 di Majma Mall, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau berharap konsert itu membantu mencapai misi untuk mencari dana agar dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Manakala bagi Pengurus YKAB Abdul Hafiz Zainalabidin, beliau menjelaskan bahawa dana yang diperoleh melalui konsert ini dikumpul untuk membiayai aktiviti yang akan datang.

“Ia adalah bagi membiayai yayasan agar dua tujuan utama kita iaitu kepimpinan dan kebajikan tercapai,” jelasnya ringkas.

Ramli (tengah) ketika sidang media Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022

Konsert ini akan dihadkan kepada 84 meja dengan harga antara RM2,000 hingga RM12,000.  Setiap meja boleh memuatkan 10 orang.

Untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut, boleh hubungi Khurnia (012-8189108); Ain (014-5970664); Syuhaida (0113-3912240); Erin (019-7253842); Syareen (016-5222416); Hafiz (017-8563958); Dewi (018-3835092) atau Syahmina (014-6912747).

Suara Sarawak