KPDNHEP teliti tambah baik Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 bagi Sabah, Sarawak 

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneliti sebarang penambahbaikan dalam Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang boleh diterima pakai di Sarawak dan Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kedua-dua negeri ini mempunyai ordinan pendaftaran perniagaan mereka tersendiri.

“Hal ini menyebabkan usahawan di Sarawak dan Sabah tidak dapat menikmati manfaat daripada akta tersebut.

“Tidak adil bagi mereka di sini (Malaysia Timur) untuk tidak mendapat faedah kerana Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sentiasa berusaha untuk menambah baik akta tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Usahawan Muda 2022 (PUM22) di Politeknik Kuching, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai manfaat daripada akta tersebut, beliau berkata antara kelebihan yang boleh diperoleh adalah mendapat bantuan daripada kerajaan.

“Selalunya, apabila kerajaan memperuntukkan bantuan untuk usahawan, ia akan menggunakan pangkalan data daripada SSM. Oleh itu, mereka yang berdaftar di bawah SSM akan mendapat bantuan secara automatik, manakala yang lain tidak mendapat sepenuhnya.

“Untuk itu, saya berharap pada masa akan datang tidak ada halangan untuk akta ini dikuatkuasakan di kedua-dua buah negeri ini,” ujarnya.

 

Suara Sarawak