SIDANG MEDIA…Willie (tiga dari kiri) menjawab soalan pihak media selepas Progam Kembaraduga dan Gotong-Royong Rejimen Semboyan Infantri di Kampung Annah Rais, hari ini.

PADAWAN: Untung nasib seseorang calon yang berhasrat untuk bertanding di Parlimen Puncak Borneo ditentukan oleh para pengundi.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin berkata, beliau tiada masalah sekiranya ramai individu daripada pelbagai parti mencuba nasib untuk bertanding kerusi Puncak Borneo.

Katanya, ia merupakan prinsipal demokrasi malah Parlimen Puncak Borneo tidak lekang daripada kesunyian menjelang musim pilihan raya sehingga pernah terdapat 20 calon berpotensi ingin bertanding.

“Sesiapa sahaja mempunyai kebebasan untuk turun padang, melobi dan memperkenalkan diri mereka.

“Itu adalah demokrasi, tiada sesiapa boleh menghalang mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri menghadiri Progam Kembaraduga dan Gotong-Royong Rejimen Semboyan Infantri di Kampung Annah Rais, di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pada akhirnya, pengundi yang memutuskan untuk memilih sesiapa sahaja untuk mengetuai Parlimen Puncak Borneo untuk penggal seterusnya.

Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi itu berkata, adalah tidak manis untuk berkata individu daripada parti politik yang lain melobi untuk menjadi calon kerana ia sejajar dengan prinsipal demokrasi.

Ditanya mengenai pencalonannya untuk terus bertanding di Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Willie meletakkan keputusan itu kepada pucuk pimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Katanya, beliau akan memberikan terbaik sekiranya barisan pemimpin PBB memberi keputusan untuk mencalonkan beliau untuk bertanding.

Suara Sarawak